Transformasi korporat BPHB terus kekal berdaya saing

BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) kini dalam fasa penting transformasi korporat yang menyeluruh.

Ini merangkumi aspek kemampanan dan digitalisasi selaras peranan Pelabuhan Bintulu sebagai antara pelabuhan utama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata, ini juga merupakan langkah proaktif BPHB untuk terus kekal berdaya saing dan relevan.

“Ini dalam menghadapi cabaran industri logistik serta memenuhi aspirasi pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Semarak Aidilfitri Bersama Bintulu Port di Dewan Suarah Bintulu, di sini, semalam.

Selain itu, Ruslan berkata BPHB juga sedang menumpukan pelaksanaan inisiatif strategik jangka panjang bagi memperkukuh sistem operasi pelabuhan.

Katanya, ini juga bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan menambah baik infrastruktur digital.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar bersama isteri, Puan Sri Datin Amar Fatimah Mohamad Iskandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak Iskandar Turkee.