PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat sepakat menyelesaikan semua isu Petronas-Petros sebelum ini secara rundingan.
Ini setelah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama kepimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS di Perdana Putra.
“Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan,”menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga bersetuju memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara PETRONAS dan PETROS.
“Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama PETRONAS dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan,” tambah kenyataan itu.
Ini termasuk menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
