Teratak Kasih Tok Nan dicadang ditubuh Bintulu, Kota Kinabalu

KUCHING: Yayasan AIDS Malaysia Borneo bercadang menubuhkan kemudahan Teratak Kasih Tok Nan di Bintulu tahun ini.

Kemudahan tersebut kini disediakan di bahagian ini dan Miri bagi membantu pesakit AIDS.

Penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu mengesahkan cadangan tersebut dan pihaknya akan mencari dana bagi tujuan itu.

“Kita akan mencari dana dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang selama ini memberi sokongan penuh kepada kita dan Teratak Kasih Tok Nan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Penyampaian Sumbangan oleh Majlis Islam Malaysia (MIM), di sini, hari ini.

Jamilah berkata, pihaknya bercadang menubuhkan hingga dua kemudahan itu hingga tahun depan dengan satu lagi dicadang ditubuh di Kota Kinabalu.

Di majlis itu sumbangan berjumlah RM300,000 daripada Majlis Islam Sarawak(MIS) disampaikan kepada Yayasan AIDS Malaysia Cawangan Sarawak sebagai Program Bantuan Asnaf.

Sementara itu, Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan, Dr. Ruziana Miss, berkata lebih 90 peratus pesakit yang menerima bantuan daripada pusat tersebut mencapai tahap ‘tidak dapat dikesan’, iaitu virus HIV dalam badan terlalu rendah untuk dikesan oleh ujian makmal dan tidak lagi menular kepada orang lain.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAF di Teratak Kasih Tok Nan Kuching itu turut diserikan dengan penyampaian bakul makanan kepada 50 keluarga B40 dan dihadiri lebih 200 tetamu, mencerminkan sokongan berterusan masyarakat terhadap usaha membasmi HIV secara inklusif dan berperikemanusiaan.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak mewakili MIS, Bolhasan Iskandar Taibi, Ketua Sektor HIV, STI dan Hepatitis C, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Fazidan Yuswan, Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya, Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan, Dr. Ruziana Miss, barisan Lembaga Pemegang Amanah & Exco Yayasan Majlis AIDS Malaysia.