Jambatan Batang Rajang dibuka, jarak perjalanan Sarikei ke Tanjung Manis hanya 53 km

SARIKEI: Penduduk Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih cekap dan pantas berikutan Jambatan Batang Rajang yang sudah siap.

Jambatan itu menjadi nadi utama laluan Jalan Pasi ke Tanjung Manis.

Jambatan sepanjang 1.44 kilometer (km) itu merupakan komponen penting dalam Rangkaian Jalan Pesisir Zon Tengah Sarawak dan menandakan satu pencapaian bersejarah dalam usaha Kerajaan Sarawak merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak hari ini, projek bernilai RM321 juta ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi inklusif dan mampan.

“Dengan siapnya jambatan ini, ia bukan sahaja menghubungkan Sarikei dan Bintangor terus ke Tanjung Manis, malah mengurangkan jarak perjalanan secara drastik. Ini membuka akses tanpa had ke kawasan pertumbuhan ekonomi utama di negeri ini,” katanya.

Jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis kini hanya 53 km berbanding 122 km sebelum ini, dengan masa perjalanan yang dipendekkan daripada dua jam 30 minit kepada hanya 45 minit.

Manakala laluan dari Bintangor ke Tanjung Manis pula kini sejauh 60 km sahaja, berbanding 108 km sebelum ini.

Dalam pada itu, JKR Sarawak berkata projek ini akan merangsang pembangunan tanah bagi tujuan pertanian, komersial dan pelancongan di sekitar kawasan terlibat, selain memperkukuh hubungan ke Pelabuhan Tanjung Manis.

Projek yang dijadual siap sepenuhnya pada 30 Mei lalu dilaksanakan oleh Metrobrite Engineering Sdn. Bhd., dengan pemantauan teknikal oleh Jurutera Bahagian JKR Sarawak, Bahagian Sarikei.