KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 menyaksikan enam Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Empat yang bermula Selasa ini.
Manakala, perasmian persidangan DUN Sarawak akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Dataran Perbarisan DUN, esok, bermula jam 9.30 pagi.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, tiga RUU akan dibentangkan Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
RUU itu ialah RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 dan RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025.
Selain itu, RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 (Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan). Manakala, RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 (Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian).
Bercakap pada sidang media, bacaan pertama bagi kesemua RUU itu akan dilakukan pada hari kedua persidangan (20 Mei).
“Bacaan kedua dan ketiga bagi
RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 dan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 akan dibaca pada 21 Mei ini,” katanya di DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, bagi RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025. bacaan kedua dan ketiga pada 21 Mei ini.
“Untuk RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025, bacaan kedua dan ketiga pada 22 Mei,” katanya.
