TYT rasmi Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-19

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Persidangan Pertama bagi Penggal Keempat DUN Ke-19
di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tun Dr Wan tiba bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, dan disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Mengiringi ketibaan pasangan kenamaan itu ialah Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 105 anggota, termasuk tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawalan diketuai Deputi Superintendan Harun Saharudin Mohamad, manakala tugas Pegawai Panji disandang oleh Inspektor Mohamad Azizi Kamil.

Upacara perasmian diiringi muzik oleh pasukan pancaragam PDRM yang diketuai oleh Inspektor Frankie Billy, membabitkan seramai 40 anggota.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum Kawalan Kehormatan mempersembahkan Hormat Diraja serta lagu kebangsaan, Negaraku dan lagu negeri Sarawak, Ibu Pertiwiku.

Selesai upacara rasmi, Tun Pehin dan Toh Puan berangkat ke Dewan Sri Sarawak bagi meneruskan atur cara persidangan, manakala panji-panji kawalan diarak keluar menandakan berakhirnya sesi perbarisan.

Persidangan kali ini dijadual berlangsung selama lapan hari dengan pembentangan enam Rang Undang-Undang (RUU) oleh barisan Menteri dan Timbalan Premier Sarawak.

Antara RUU yang akan dibawa ke dewan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 serta RUU Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 yang bakal dibentangkan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Selain itu, RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 akan diketengahkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Dua lagi RUU penting turut dijangka dibentangkan, iaitu RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025 oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 oleh Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang juga Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.