TYT mahu kestabilan politik Sarawak dikekal

KUCHING: Rakyat diingat agar tidak terpengaruh dengan anasir yang boleh menganggugugat kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana kestabilan politik merupakan syarat utama kepada pembangunan mampan.

“Sekarang, wawasan Sarawak ke arah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut TYT, beliau gembira keadaan politik negara, khususnya di Sarawak berada dalam keadaan stabil.

“Saya amat bersukacita kerana Sarawak kukuh di bawah kepimpinan Premier sehingga membolehkan Kerajaan Sarawak menggubal dan melaksana dasar yang progresif, berwawasan dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Katanya, keadaan ini menjamin pembangunan berterusan dan memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal mereka di Sarawak.

“Kemakmuran sosioekonomi yang kita nikmati ini haruslah kita pelihara dengan mengekalkan kekuatan dan kestabilan politik yang kini kita miliki,” tambahnya.