KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap kerjasama PETROS dan PETRONAS berkaitan isu gas dan minyak dapat dimuktamadkan dengan segera.
Beliau berkata, ia pasti akan membawa banyak kebaikan dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama negara dan Sarawak.
Beliau bersyukur kerana Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan langkah Kerajaan Sarawak untuk melantik PETROS sebagai gas aggregator tunggal di Sarawak.
Perkara itu dibuat di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 dengan Kerajaan Sarawak mempunyai kuasa eksekutif dan legislatif untuk menggubal undang-undang mengenai elektrik dan pengedaran gas, katanya.
“Ini adalah selaras dengan rekomendasi daripada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang telah dilaksanakan melalui Borneo States (Legislative Power) Order, 1963 yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong menurut Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19 di sini, hari ini.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Yang di-Pertua Negeri menegaskan, hak perlembagaan itu harus dihormati untuk membolehkan PETROS melaksanakan peranannya sebagai gas aggregator bagi memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada ekonomi negara dan Sarawak.
Beliau turut bersyukur kerana hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat akrab untuk membolehkan banyak perkara yang telah diselesaikan khususnya yang melibatkan hak dan kepentingan Sarawak.
Hubungan akrab ini, katanya, akan memastikan Sarawak mendapat semua tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.
Beliau berharap agar semua tuntutan Sarawak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan segera supaya ia memberi manfaat kepada Sarawak dan negara.
Keikhlasan dan komitmen Perdana Menteri melalui prinsip Malaysia MADANI, sudah pasti akan memberi impak yang positif kepada usaha menyemai semangat Segulai Sejalai ke arah pembangunan yang inklusif kepada Sarawak, tegas beliau.
