KUCHING: Kerajaan Sarawak diharap mempertimbangkan cadangan membina dewan masyarakat dan mewujudkan Pusat Ekonomi Kanowit (KEC) di Pekan Kanowit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS- Machan, Allan Siden Gramong berkata, dewan masyarakat amat diperlukan untuk penduduk mengadakan aktiviti sukan, majlis keramaian, mesyuarat dan sebagainya.
“Walaupun Kanowit mempunyai Dewan Pejabat Daerah, tetapi dewan tersebut sentiasa digunakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk program rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Allan juga berhasrat menaik tarafkan dan mengubahsuaikan terminal bas di Pasar Tamu Kanowit di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak.
“Projek ini ianya akan memenuhi kehendak dan keperluaan penduduk dengan menawarkan kombinasi ruang pejabat,kios dan kedai yang dapat digunakan oleh pelbagai jenis perniagaan, perkhidmatan dan pejabat korporat,” tambahnya.
