KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Kesyukuran Aidiladha anjuran Majlis Islam Sarawak Tahun 1446 H/2025M di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.
Majlis dimulakan dengan gema takbir raya, sebelum Tun Dr Wan Junaidi dan Abang Johari serta Fadillah menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sejurus selesai solat, majlis diteruskan dengan simbolik penyembelihan haiwan korban yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Wan Shaifudin Wan Madihi.
Pada majlis tersebut, TYT, Premier Sarawak dan Timbalan Perdana Menteri turut menyempurnakan simbolik pelapahan daging korban, disusuli dengan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan saudara baru.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam ), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta tetamu kenamaan yang lain. — JABATAN PENERANGAN
