KUCHING: Pusat Konvensyen Metrocity (MCCC) baharu dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, idea kreatif penganjur dengan mengubah kawasan kosong di Metrocity menjadi lokasi strategik untuk penganjuran acara berskala besar.
“Ini untuk menarik kehadiran ramai pengunjung, sekali gus memberi impak ekonomi kepada kawasan sekitar.
“Sebelum ini tanah ini kosong sahaja, tidak memberi apa-apa manfaat. Tetapi dengan idea kreatif pengurusan, ia kini menjadi pusat tumpuan – memberi ruang kepada peniaga menjual produk, mempamerkan perabot, dan menarik pengunjung ke pasar malam serta kedai-kedai berhampiran,” katanya semasa merasmikan prapembukaan pusat konvensyen itu yang diadakan sempena penganjuran Ekspo Modern Home Living hari ini.
Lebih 80 pempamer turut serta dalam ekspo itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sustainable Management Sdn Bhd, Nicholas Tiong berkata pembukaan MCCC merupakan projek pertama syarikat itu di Sarawak dan diyakini mampu menjadi pusat tumpuan baharu bagi acara tempatan dan antarabangsa.
