BINTULU: Dinding penghadang atau pemecah kebakaran disaran menjadi sebahagian reka bentuk rumah panjang baharu yang akan dibina.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ini bertujuan mengekang kebakaran dari merebak dengan pantas ke seluruh struktur rumah panjang terbabit.
“Saya menyarankan agar setiap rumah panjang mempunyai dinding penghadang atau pemecah kebakaran untuk hadkan kebakaran daripada merebak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa II DUN Kemena di Pejabat Pertanian Bahagian Bintulu, di sini, hari ini.
Dr Stephen berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) boleh membantu menyediakan panduan teknikal kepada komuniti rumah panjang bagi melaksanakan langkah keselamatan ini.
