Golongan asnaf dan kurang mampu antara penerima daging korban

SARIBAS: Sebanyak 33 ekor lembu dikorbankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas untuk ibadah korban pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, peruntukan disalurkan kepada 22 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk melaksanakan ibadah korban.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan cara pelaksanaan program ibadah korban pada tahun ini kerana jumlah penerima ramai.

“Tiap-tiap rumah, keluarga di DUN Saribas dapat agihan daging korban pada tahun ini selain golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya pada program ibadah korban di Kampung Serembang dekat sini, semalam.

Mengulas mengenai penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan ibadah korban, Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menyifatkan ia sebagai perkembangan positif untuk membantu menyemarakkan sambutan Aidiladha di luar bandar.