Jalan baharu Sadong Jaya-Sebuyau bakal siap 2028, pendekkan perjalanan laluan pesisir

SEBUYAU: Jarak perjalanan dari Sadong Jaya ke sini akan lebih singkat apabila laluan pesisir baharu sepanjang 28 kilometer (km) siap menjelang 2028.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, laluan itu mengurangkan lebih 10 km dari jarak sedia ada.

“Kerja-kerja pembinaan kini berada di peringkat awal dengan kemajuan dicatatkan sebanyak 3.85 peratus,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke tapak projek terbabit di sini semalam.

Projek tersebut melibatkan pembinaan jalan satu lorong mengikut spesifikasi JKR R5 dari Kampung Ladong hingga ke Jambatan Triso-Sebuyau,
katanya.

Menurut beliau, laluan asal antara Sadong Jaya ke Sebuyau ialah kira-kira 43 km dan dengan adanya jalan baharu itu, perjalanan bukan sahaja lebih pendek, tetapi juga lebih cepat dan selesa.

Aidel turut memaklumkan, salah satu cabaran utama projek itu ialah kesukaran mendapatkan sumber pasir berkualiti kerana struktur tanah di Batang Sadong yang berlumpur.

“Kita telah berbincang dengan pembekal, dan mereka berjaya mendapatkan sumber pasir yang lebih dekat di kawasan Kabong. Ini akan membantu mempercepatkan penghantaran bahan dan seterusnya mempercepatkan proses pembinaan,” jelasnya.