BELAWAI: Seramai 18 ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.70 Samalaju menyertai lawatan sambil belajar di sini selama dua hari.
Rombongan mereka diketuai Ketua Wanita N70 Samalaju, Dora Abdul Rahman bagi memperluaskan pengetahuan berkaitan industri tempatan dan warisan budaya masyarakat setempat.
Diiringi Ketua Wanita Parti PBB N41 Kuala Rajang, Kaunselor Misiah Abu Seman, rombongan terbabit mengunjungi lokasi menarik termasuk pusat pemprosesan sesar dan kuih Cina (salak) bagi menyaksikan sendiri proses pembuatan kuih tradisional dan berinteraksi bersama usahawan tempatan.
Rombongan turut melawat Pusat Tenun Rejang untuk melihat dari dekat proses pembuatan songket Rajang yang menjadi lambang warisan seni masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh turut meraikan kehadiran rombongan semasa jamuan makan tengah hari.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan terhadap inisiatif memperkasakan wanita melalui pembelajaran luar dan aktiviti keusahawanan, yang dilihat mampu memberi impak positif terhadap ekonomi keluarga dan pembangunan negeri.
