BALEH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja ke tapak Empangan Hidroelektrik Baleh hari ini bagi meninjau kemajuan pelaksanaan salah satu projek tenaga boleh diperbaharui utama negeri ini.
Premier Sarawak tiba di tapak projek sekitar jam 11 pagi diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Dato Ibrahim Baki; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan dan Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit.
Ketibaan rombongan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili; Naib Presiden Eksekutif (Penyampaian Projek) Sarawak Energy, Ir. Pramod Kumar Karunakaran; wakil-wakil agensi kerajaan dan Sarawak Energy Berhad.
Rombongan kemudian dibawa meninjau tapak pembinaan empangan untuk mendapatkan gambaran jelas tentang status kemajuan projek tersebut.
Projek Empangan Hidroelektrik Baleh merupakan komponen utama dalam pelan strategik Sarawak Energy untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan matlamat Sarawak menjadi pengeluar tenaga lestari utama di Asia Tenggara.
Ia dijangka memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga jangka panjang negeri serta menyokong agenda ekonomi hijau Sarawak.
