DARO: Projek Jalan Passin kini telah mencapai 30 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, projek tersebut diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sejak 2018, kini dilaksanakan semula oleh kontraktor penyelamat selepas menghadapi projek sakit.
“Pelaksanaan semula projek ini menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas di luar bandar terus dipertingkatkan.
“Ini penting untuk menghubungkan komuniti pedalaman dengan kawasan lain serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 di Rumah Lucy, Sungai Passin, semalam.
Katanya, satu lagi projek berimpak tinggi yang sedang giat dilaksanakan ialah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES), yang kini telah mencapai 76 peratus status pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2026.
“Saya menggesa agar projek RES ini dapat dipercepatkan supaya boleh digunakan oleh penduduk kawasan ini sebelum Gawai Dayak 2026, sekali gus memberikan makna kepada sambutan perayaan masyarakat di sini,” katanya.
Pada majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan sumbangan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada tujuh rumah panjang dan PIBG SK Passin yang berjumlah RM52,000 dan menyampaikan tujuh Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sungai Passin.
