Sebaran maklumat tepat bantu tangkis berita palsu

DARO: Masyarakat luar bandar yang menjadi barisan hadapan dalam penyebaran maklumat sahih harus dibekal ilmu yang betul agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, langkah itu penting supaya dapat menangkis penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa dewasa ini.

“Ia juga penting agar masyarakat luar bandar tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan maklumat tanpa semakan, katanya semasa merasmikan Program Mini Asas Penerangan Daerah Matu dan Daro di sini, semalam.

Program yang diadakan di NADI Daerah Daro itu menghimpunkan lebih 70 peserta terdiri daripada Komuniti Madani dari daerah Matu dan Daro.

Program yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Daerah Matu dan Daro, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Matu Daro dan Komuniti Madani itu berjaya meningkatkan kefahaman peserta terhadap kepentingan penyampaian maklumat yang tepat, beretika dan berkesan.

“Saya amat menghargai usaha bersama NADI, SKMM, dan JAPEN dalam melaksanakan program seumpama ini,” tegas Ahmad Johnie.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Matu, Nurhayati Abdul Halim, menyatakan program Nadi AI merupakan kesinambungan daripada hasil Lawatan Komuniti Madani Daerah Matu & Daro ke Parlimen 25 Februari 2025.

Semasa lawatan itu, komuniti Madani mengutarakan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil keterujaan untuk mempelajari asas teknologi kecerdasan buatan (AI).