Sarawak rekodkan 572 kes dera, abai kanak-kanak

SAMARAHAN: Sarawak merekodkan sebanyak 572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sebanyak 45 kes itu berlaku di Bahagian Samarahan.

“Ini bukan angka kosong. Ia mewakili anak-anak yang memerlukan pertolongan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Samarahan 2025 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Nancy berkata, di Sarawak sahaja sebanyak 25 sekolah dengan lebih 5,500 peserta terlibat program itu tahun lalu dan pihaknya akan melibatkan sebanyak 300 lagi sekolah dalam program itu di seluruh negara tahun ini.

“Ia (program) adalah platform untuk menyuarakan bahawa setiap anak-anak Malaysia berhak untuk membesar dalam suasana yang membina di rumah, di sekolah, di mana sahaja mereka berada,”
katanya.