KUCHING: iCEPS UiTM Cawangan Sarawak memainkan peranan sebagai platform penting dalam menyokong kemahiran warga Sarawak selari dengan ekonomi digital dan tenaga kerja masa depan.
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Abdul Wahab Aziz percaya, sebagai salah satu institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sarawak yang berteraskan kecemerlangan, iCEPS UiTM bertanggungjawab melahirkan tenaga kerja profesional dan memberi nilai tambah kepada sumber manusia di negeri ini.
Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong dalam apa jua usaha dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan sepanjang hayat.
“Saya amat menyokong terhadap inisiatif pendidikan fleksibel dan inklusif, khususnya untuk golongan bekerja dan dewasa.
“Pendidikan tidak berakhir di universiti; sebaliknya, ia merupakan proses yang berterusan sepanjang hayat,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi dan Pra Graduan Separuh Masa iCEPS UiTM Cawangan Sarawak di sini malam tadi.
Abdul Wahab berkata, dalam era yang sentiasa berubah, keperluan untuk terus belajar, menyesuaikan diri, dan meningkatkan kemahiran adalah lebih penting berbanding sebelum ini.
“Justeru, peranan iCEPS signifikan melalui menyediakan ruang dan peluang kepada rakyat Sarawak, untuk meningkatkan kelayakan akademik dan kemahiran profesional tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab terhadap pekerjaan dan keluarga.
“Ini adalah contoh terbaik bagaimana pendidikan fleksibel dapat menyokong pembangunan modal insan secara inklusif,” kata beliau.
Hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr Firdaus Abdullah.
