KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menganjurkan Program Sarawak Rocketeer CAN-SAT Challenge (SRC), di sini, bermula 14 Jun lalu.
Menurut kenyataan TEGAS, seramai 50 peserta mewakili 10 sekolah menengah dari lima Pejabat Pendidikan Daerah menyertai program yang julung kali di Sarawak.
Ini bermula dengan bengkel dan sesi demonstrasi di Hotel Hock Lee dan Politeknik Kuching, di sini, pada 14 hingga 15 Jun lalu.
Seterusnya Rocket Launching Day di TEGAS Digital Village dan Politeknik Kuching di sini pada 28 hingga 29 Jun lalu.
Program ini memberi peluang kepada pelajar buat pertama kali bersaing menghasilkan roket sebenar dan bermula dengan pendedahan kepada asas aerodinamik, reka bentuk roket, pengaturcaraan pelancar, sehinggalah pengalaman pelancaran roket
sebenar jenis 120 meter di Politeknik Kuching.
Program ini akan melabuhkan tirai dengan acara kemuncak Sarawak Level Challenge sempena SCaT Fair 2025 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini pada 5 dan 6 Julai ini.
Pemenang peringkat negeri akan mewakili Sarawak ke pertandingan kebangsaan Malaysia Rocket Competition 2025 dan seterusnya berpeluang ke pentas antarabangsa menerusi Spaceport America Cup 2025.
