DBKU rangkul Anugerah Rosa Sinensis 2025

JOHOR: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya merangkul Anugerah Rosa Sinensis sempena Hari Landskap Negara 2025.

Menurut kenyataan media DBKU, anugerah bertujuan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang dalam pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan landskap di Malaysia oleh organisasi, agensi, komuniti dan individu.

Anugerah disampaikan Timbalan Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zulkeflee Sulaiman, sempena Hari Landskap Negara di Pasir Gudang di sini, 28 Jun lalu.

Hadir menerima anugerah tersebut ialah Pengarah DBKU Ramzi Abdillah dan turut hadir Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembangunan dan Landskap, Maggie Tomeng, Ketua Bahagian Landskap, Mohamad Benjamin Julaihi Khan dan Penolong Arkitek Landskap DBKU, Evie Izzati Bohari.

Hanya lima penerima dianugerahkan pengiktirafan berprestij ini daripada seramai 25 permohonan iaitu DBKU, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Daerah Maran, 101 Properties Sdn Bhd dan Setia Frontainer sdn bhd.

DBKU telah menghantar dua penyertaan untuk dipertandingkan di bawah kategori taman awam, iaitu Taman Perpaduan, Petra Jaya dan Taman Botani Sarawak di Kuching.

Kedua-dua taman ini menampilkan reka bentuk landskap yang berfungsi, mesra alam dan mencerminkan identiti tempatan serta Taman Botani Sarawak yang berjaya memperolehi anugerah itu.