KUCHING: Kerajaan yang stabil membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sarawak sejak 2021.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan ini termasuk subsidi faedah berjumlah RM75.5 juta kepada 3,300 PMKS terbabit.
Selain itu katanya, seramai 178,000 usahawan di Sarawak juga telah mendapat manfaat daripada bantuan kewangan berjumlah RM3.3 bilion sejak 2021.
“Kita bersyukur kerana kerajaan yang stabil serta dasar yang jelas dan mesra perniagaan telah membolehkan pelbagai bentuk bantuan ini disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Eksport Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Selain itu, Awang Tengah berkata Sarawak akan terus memperluas akses pasaran eksport melalui pembukaan pejabat perdagangan dan pelancongan di luar negara.
Katanya ini termasuk di Singapura, Brunei, Pontianak dan Abu Dhabi.
