Todak Berjaya dinobat Raja Sungai Regata Kalaka

SARATOK: Pasukan Todak Berjaya, milik Pansari Kalaka, sekali lagi membuktikan dominasi mereka di Sungai Krian apabila dinobatkan sebagai Raja Sungai Regata Kalaka 2025, selepas menjuarai acara kemuncak Bidar 30 Pekayuh Lelaki dalam perlumbaan di sini, hari ini.

Ribuan pengunjung membanjiri Tebingan Sungai Krian sekali gus memberi semangat kepada pasukan berkenaan.

Meskipun dicabar sengit oleh pasukan Putera Todak milik D’Prauk Cafe dan Burung Garuda milik Sarbini Awie, pasukan Todak Berjaya tetap unggul, meluncur deras memecah arus menuju garisan penamat.

Kemenangan ini menandakan kejayaan hatrik mereka iaitu muncul juara tiga tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan gelaran sebagai kuasa besar dalam arena perlumbaan perahu tradisional di Saratok.

Sebagai juara, Todak Berjaya membawa pulang RM16,500, piala kejuaraan dan sebuah trofi kebanggaan.

Sementara itu, Putera Todak yang tampil cemerlang tetapi terpaksa akur di tempat kedua menerima RM9,900 dan piala, manakala Burung Garuda di tempat ketiga meraih RM4,400 dan piala.

Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.

Regata Kalaka 2025, yang berlangsung sejak Jumaat lalu, berjaya menarik penyertaan 21 pasukan dari dalam dan luar kawasan, menjadikan penganjuran tahun ini antara yang paling meriah dan kompetitif.