KUCHING: Sektor pelancongan Sarawak terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatatkan kehadiran lebih 200,000 pelawat dari Brunei setiap bulan, sekali gus menjadikan negara jiran itu penyumbang utama kepada jumlah pelancong asing ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemasukan pelawat dari Brunei menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan angka pelawat ke Sarawak yang kini mencecah antara 400,000 hingga 500,000 orang sebulan.
“Ini petanda sangat positif kerana kita kini telah mencapai separuh daripada sasaran lima juta pelawat untuk tahun ini. Jika momentum ini kekal, kita yakin angka itu mampu dicapai sebelum hujung tahun,” katanya dalam ucapannya semasa merasmikan Program ASEAN Youth Volunteer 2025@Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan menarik jumlah pelawat yang tinggi membuktikan usaha promosi pelancongan dan kerjasama serantau memberi impak kepada ekonomi negeri.
Selain itu, kedudukan geografi yang strategik dan hubungan dua hala yang erat turut memainkan peranan penting, katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan turut menekankan pentingnya peranan golongan muda dalam pembangunan ASEAN, terutama melalui program kesukarelawanan rentas negara yang mampu membentuk jaringan serantau kukuh.
