KUCHING: Sebanyak 85 gerai jualan pelbagai produk dan makanan telah dibuka pada program Autism Foodfair 2025.
Program kutipan dana tahunan anjuran Persatuan Autistik Kuching (KAA) itu diadakan di Dewan Association of Churches, Jalan Stampin, di sini, hari ini.
Penaung KAA yang juga isteri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Dayang Morliah Awang Daud telah menyempurnakan perasmian program itu yang dihadiri ratusan pengunjung.
Selain mengumpul dana, pengunjung juga menyaksikan persembahan pentas oleh murid-murid autisme serta kumpulan sukarelawan yang menyemarakkan suasana dengan semangat inklusif dan kekeluargaan.
Autism Foodfair bagi mengumpul dana kerana KAA memerlukan kira-kira RM750,000 setahun bagi menampung kos operasi pusatnya.
Ini termasuk penyediaan pendidikan, terapi, latihan kemahiran serta mengekalkan kadar yuran yang rendah dan mampu milik, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Disamping itu, Autism Foodfair juga turut menjadi platform kesedaran, advokasi dan pemerkasaan komuniti terhadap Autisme.
Turut hadir ialah Pengerusi penganjur dan pengumpulan dana Connie Yeo serta Presiden KAA Dr Catherine Chen.
