Awang Bemee kunjungi Premier Sarawak, rakam penghargaan

KUCHING: Yang di-Pertua Dewan Negara, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Kunjungan hormat itu bagi menzahirkan terima kasih kepada Abang Johari atas sokongan dan pencalonan kepada dirinya untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia 10 Mei lalu.

Bercakap kepada media selepas kunjungan hormat itu, Awang Bemee turut menzahirka penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana memberi perkenan baginda yang membawa kepada pelantikan beliau.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah mencadangkan namanya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.

“Ini adalah pengiktirafan dan penghormatan buat Sarawak dan kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Awang Bemee mengangkat sumpah jawatan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh tiga tahun sehingga 14 Julai 2027.