Karya seni warga UiTMCS dipamer di Jakarta

KUCHING: Sebanyak 13 karya seni pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS) dan artis Sarawak Artist Society (SAS) dipamer di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia.

Menurut kenyataan media UiTM Cawangan Sarawak, karya seni terbabit ditampil pada pameran seni “Mapping Sarawak to the World, Jakarta” dan perasmiannya disempurnakan Duta Besar Malaysia di Jakarta, H.E. Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin, 15 Ogos lalu.

“Pameran ini merupakan kolaborasi bersama di antara UiTMCS, SAS dan Education Malaysia Indonesia yang
dijalankan sejak Mei lalu, menurut kenyataan itu.

Pameran pertama dijalankan dengan jayanya bersama Universitas Trisakti, Indonesia dan diikuti dengan pameran di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta itu sepanjang Ogos ini bersempena bulan kemerdekaan Malaysia.

Selain itu, pameran juga penutup program Mapping Sarawak to the World, Jakarta Series 2024 dianjur Pusat Pengajian Seni Lukis Seni Reka Seni Bina Perancangan dan Ukur (SSSPU) UiTMCS di bawah pengelolaan Dr Asmah Alia Mohamad Bohari.

“Program Mapping Sarawak to the World merupakan usaha berterusan untuk menonjolkan Sarawak di pentas dunia, memperlihatkan pencapaian yang telah diraih di peringkat global,” kata kenyataan itu.

Program juga mengukuhkan kerjasama antara pengamal seni dan akademik dari Sarawak dan mendapat tajaan Geran Acara sebanyak RM50,000 dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

GAMBAR: UiTMCS