SERIAN: Hospital Serian menerima
sebuah mesin hemodialisis menerusi inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) bernilai RM41,150 hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, BKPBP merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu meringankan beban pesakit buah pinggang.
“Bantuan mesin hemodialisis ini dapat menambah bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Serian,” katanya di majlis penyerahan mesin terbabit di Hospital Serian di sini.
Fatimah berkata, Hospital Serian telah mula beroperasi pada 30 Oktober 2002 membabitkan seramai lapan pesakit yang menjalani rawatan secara berperingkat di unit hemodialisis hospital itu.
“Setakat ini, seramai 70 pesakit mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Serian sejak penubuhannya. Majoriti pesakit adalah masyarakat di daerah Serian,” tambahnya.
Beliau berkata, bilangan mesin hemodialisis di Hospital Serian juga telah bertambah daripada tujuh kepada 16 mesin ketika ini.
