Kerajaan Sarawak bantu golongan sasar, 21,604 terima bantuan bulanan

SIBU: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat Sarawak (JKMS) sentiasa berusaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan sasar atau klien yang berkelayakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, setakat April tahun ini, JKMS menyalurkan bantuan berjumlah lebih kurang RM51 juta kepada 21,604 penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.

“Bantuan itu bagi meringankan beban penerima untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik, katanya pada Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025 di Dewan Serbaguna Selangau dekat sini hari ini.

Beliau berkata, lapan kategori skim bantuan yang ada di Sarawak ialah Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Am, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik, Bantuan Anak Pelihara dan Bantuan Belia Beliawanis.

“Bantuan ini kita ada tambah juga daripada Kerajaan Sarawak. Maknanya, Kerajaan Sarawak tidak bergantung sepenuhnya sumber peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa dan ahli masyarakat supaya peka dengan skim bantuan yang disediakan kerajaan itu.

Menyentuh mengenai Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2025, Razi berkata, JKMS telah melaksanakan pemberian wang sumbangan sebanyak RM100 dan hamper perayaan berjumlah RM80 kepada penerima bantuan sejak lebih 20 tahun lalu.

Turut hadir ADUN Tamin Ir Christopher Gira Sambang.