Regata Kalaka kemuncak Pesta Saratok

SARATOK: Acara perlumbaan perahu bagi merebut gelaran Raja Sungai Regata Kalaka akan menjadi kemuncak Pesta Saratok 2025,di sini mulai 11 hingga 13 Julai depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menyaksikan perlumbaan perahu tersebut pada 13 Julai ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sebanyak 21 acara pengisian Pesta Saratok 2025 termasuk Saratok Kitchen, pertandingan memasak, pertandingan Dart, Petanque, Kempen Derma Darah, Kejohanan Bola Keranjang, Badminton , Mountains Bike Challenge dan malam kebudayaan.

“Pertunjukan perahu berhias, pertandingan pangkah gasing, pertandingan melastik, menyumpit, bertandak, Ratu Etnik Pesta Saratok, pertandingan memancing, tarik tali turut diadakan,” katanya.

Beliau diwakili Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Saratok 2025 yang dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, di sini, hari ini.

Mohamad Duri berkata, tapak jualan Pesta Saratok 2025 akan menawarkan kadar sewa berpatutan dan akan dibuka kepada dalam masa terdekat.

Pesta ini diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.38 Kalaka, Pejabat Daerah Saratok, agensi kerajaan dan swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), kelab dan persatuan berkaitan.