KUCHING: Masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah sambutan perayaan Gawai Dayak peringkat negeri tahun ini.
Pemilihan masyarakat Orang Ulu berdasarkan pengiliran pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini hari ini.
Timbalan Menteri Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek, Datuk Gerawat Gala dilantik sebagai pengurusi jawatankuasa penganjur.
Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan perayaan Gawai Dayak peringkat negeri 2025 berkata, Gerawat akan membentuk jawatankuasa kerjanya dan mencadangkan tarikh bagi menganjurkan pelbagai acara berkaitan.
Ini adalah peluang keemasan bagi masyarakat Orang Ulu untuk mengetengahkan budaya dan tradisi mereka, katanya dan menambah, perayaan Gawai Dayak yang dianjurkan oleh masyarakat Bidayuh tahun lalu sangat berjaya.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk daripada sektor awam dan swasta atas usaha dan sumbangan yang diberi,” kata Uggah dan menegaskan, masyarakat Bidayuh, Iban dan Orang Ulu bekerjasama menjayakan sambutan Gawai Dayak tahun lalu dan berharap semangat itu diteruskan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah yang juga pengerusi jawatankuasa kerja sambutan Gawai Dayak tahun lalu berkata, sebanyak lima acara utama berjaya dianjurkan.
Acara itu termasuk Bazar Gawai Dayak, karnival dan perarakan budaya, majlis makan makan Gawai Dayak dan penerbitan Makalah Pelancongan Gawai dan buku Meja Kopi.
“Kita berharap dapat melancarkan buku Meja Kopi sebelum sambutan Gawai Dayak pada bulan Jun ini,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Jinep yang juga Pengerusi Program Bazar Gawai berkata, jumlah jualan yang dicatatkan selama 11 hari bazar itu diadakan ialah RM2.4 juta.
