30 projek berimpak tinggi di Kampung Gerigat

KABONG: Sebanyak 30 projek berimpak tinggi dilaksana membabitkan peruntukan berjumlah RM135.395 juta di Kampung Gerigat, di sini, sejak 2016 hingga 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek pembangunan itu diluluskan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Kita harus menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah meluluskan projek,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-22 Tahun 2025 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat di Balai Nelayan Kampung Gerigat, di sini hari ini.

Seramai 167 ahli PNK Gerigat telah menghadiri mesyuarat ini.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA), Darmizan Daud menyampaikan sumbangan suku sen Projek Pembekalan Diesel Bersubsidi PENESA kepada PNK Gerigat berjumlah RM9,249.86.