KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah mendapat autonomi untuk meluluskan permohonan pembinaan bangunan gantian atau tambahan, kerja ubah suai atau naik taraf di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak.
Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek berkata, autonomi pendidikan ini telah diberikan kepada Kerajaan Sarawak melalui pemberian kuasa Menteri Pendidikan di bawah Seksyen 28 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berkuat kuasa Mac 2024.
Katanya, kelulusan permohonan untuk membaiki sekolah-sekolah daif perlu menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak selain Kerajaan Persekutuan yang tertakluk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berhubung status perbincangan autonomi pendidikan antara pihak KPM bersama Kerajaan Sarawak dalam Persidangan Dewan Rakyat.
Terdahulu, satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) diadakan 22 Februari 2024 di Kuching bersama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bagi membincangkan secara terperinci berkaitan tuntutan autonomi pendidikan yang dicadang Kerajaan Sarawak.
Fadhlina memberitahu, KPM akan terus komited dalam perundingan dengan Kerajaan Sarawak bagi memenuhi tuntutan yang dipohon berdasarkan keupayaan, keperluan dan bidang kuasa yang sedang berkuat kuasa.
