KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 pek bubur pedas diagih kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selain jemputan dan orang awam pada Program Agihan Bopedas Dan Penyampaian Sumbangan Ikhlas MAKSAK Sarawak sempena Ramadan 2024 di Yayasan Sarawak di sini.
Program disempurnakan isteri Premier Sarawak merangkap Penasihat Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaán Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Pemberiaan bubur pedas tersebut sebagai mengubat kerinduan warga Sarawak di sini kerana juadah tradisional itu sukar ditemui di restoran atau bazar Ramadan di Semenanjung Malaysia.
Selepas menyempurnakan simbolik memasak bubur pedas, beliau mengagihkan juadah tersebut kepada orang ramai.
Terdahulu, beliau bersama Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang menyempurnakan penyampaian Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares.
Sumbangan berupa wang tunai dan kek lapis itu diserahkan kepada 28 kakitangan yang bertugas di Pejabat Perhubungan Sarawak dan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur.
Hadir sama Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli serta isteri Noraini Adenan.
