Peruntukan tambahan projek Masjid Bahagian Betong

BETONG: Pembinaan Masjid Bahagian Betong telah memasuki fasa penyediaan tender dan akan bermula dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Belia Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) juga telah menerima sebanyak RM5 juta dari kerajaan negeri bagi menambah peruntukan pembinaan.

“Saya telah menerima berita baik ini daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong di sini.

Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar di majlis itu juga mengumumkan peruntukan masing-masing RM10,000 kepada enam JKKK Kampung Melayu di sini dan peruntukan RM10,000 dari Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada Jawatankuasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri terbabit.