Tangani masalah dadah

LAWAS: Masalah penyalahgunaan dadah kini menular sehingga ke kawasan pedalaman Lawas.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di kawasan bandar sahaja.

“Ia menjalar hingga ke pedalaman seperti di Ba kelalan,” katanya ketika majlis perjumpaan dengan Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Datuk Yahya Sulaiman, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu Henry Sum mahu penglibatan RELA dalam program kemasyarakatan dapat dipergiat dengan menyasarkan golongan belia.

Pada majlis itu, beliau juga menyerahkan geran kerajaan berjumlah RM5,000 kepada Biro Ekonomi RELA Lawas. Majlis juga dihadiri Penolong Pesuruhjaya RELA, Syawal Azmi dan Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB Steve Lius.