SARATOK: Pesta Saratok kini menjadi platform penting mempromosikan daerah Saratok sebagai destinasi pelancongan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penganjuran pesta tahunan itu bertujuan menjadikan Saratok sebagai daerah yang lebih popular dan dikenali ramai.
“Malah (Pesta Saratok) menjadi platform penting dalam menyatukan rakyat, memperkukuh ekonomi dan mempromosikan daerah Saratok sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penangguhan Pesta Saratok 2025, di sini, hari ini.
Uggah berkata selain itu, pesta itu turut membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk desa dan medan mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai bidang.
“Saya berharap Pesta Saratok ini akan terus menyemarakkan semangat kebersamaan, memupuk rasa bangga terhadap budaya dan warisan, serta menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.
