Polisi tegas diperkenal, pastikan kontraktor laksana projek dengan berjaya

MUKAH: Kerajaan Sarawak memperkenalkan polisi tegas bagi memastikan setiap kontraktor melaksanakan projek dengan berkesan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa langkah ini untuk memastikan projek berjalan lancar dan memenuhi keperluan rakyat.

Jelasnya, polisi ini menetapkan bahawa kontraktor yang gagal memulakan kerja dalam tempoh satu bulan selepas dianugerahkan projek akan dikenakan tindakan termasuk penarikan balik kontrak.

“Tindakan ini demi memastikan projek berjalan lancar dan kepentingan rakyat terjaga,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pembangunan di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah hari ini.

Dedahnya, beberapa projek telah ditamatkan kontrak kerana kegagalan kontraktor termasuk projek pembinaan Jalan Samarahan dan Jambatan Marudi.

Bagi memastikan projek ini diteruskan, kerajaan katanya telah melantik kontraktor penyelamat yang lebih berkelayakan untuk mengambil alih dan menyiapkan projek-projek tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menekankan kerajaan negeri akan lebih teliti dalam memantau latar belakang syarikat bagi memastikan hanya kontraktor yang benar-benar berkelayakan diberikan projek.

Ujarnya, langkah ini penting untuk mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.

“Ini merupakan amaran tegas kepada kontraktor untuk menyiapkan projek infrastruktur dengan segera, selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai sifar projek sakit di negeri ini,” tegasnya lagi.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Doughlas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee In, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan timbalan-timbalan menteri.