Budayakan inovasi, kreativiti

KUCHING: Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak digesa membudayakan inovasi dan kreativiti untuk meningkatkan proses kerja sedia ada.

Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, cara kerja sedia ada mungkin tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Justeru, cadangan penambahbaikan melalui idea inovatif dan kreatif amat digalakkan, katanya sempena Konvensyen Innovative and Creative Circle (ICC) KPWK di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.

Fatimah menegaskan, pembudayaan inovasi sebenarnya bukan perkara baharu di Sarawak dan Premier Sarawak sendiri seorang yang sangat kreatif dan sentiasa membuahkan idea inovasi dengan memperkenalkan pelbagai mekanisme baharu untuk mencari dan mengenal pasti sumber baharu.

Ini untuk meningkatkan pendapatan Sarawak demi menjana kelestarian ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat Sarawak yang berdigniti, bersatu padu dan sejahtera, katanya.

Beliau percaya KPWK, JKMS, JWKS dan SeDIDIK mempunyai ramai warga kerja kreatif, mempunyai pemikiran yang kritis dan mampu membentuk budaya kerja inovasi di KPWK serta jabatan dan agensi di bawahnya.