ROBAN: Pekan kecil di daerah Saratok ini akan menjadi tumpuan penduduk apabila Festival Makanan Roban (RFF) 2024 diadakan di sini mulai 13 hngga 29 September depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, RFF yang sebelumnya dinamakan Pesta Roban diberi nafas baharu dan bakal dimeriahkan lagi dengan beberapa program pengisian menarik.
Antaranya Pekan Sari Roban; pameran dan jualan seni kraf tangan, replika rumah panjang tradisi, mini pesta ria, persembahan tarian etnik Silang Budaya dan pansuh tiga serumpun, katanya.
Beliau berkata, turut diadakan ialah pertandingan Seri Kumang Roban; pertandingan persembahan tarian etnik Roban; Ratu Etnik Roban; jaguh tarik tali atas air Sungai Seblak Roban dan pertandingan lumba perahu Sungai Seblak.
“Program yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat tempatan itu mampu membantu peniaga dan masyarakat setempat menambah pendapatan mereka,” katanya.
Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili Mohamad Duri menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa RFF 2024 di sini, semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Share itu turut dihadiri Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, wakil ADUN Krian, Spencer Gon; ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat.
