BETONG: Pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak melahirkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus mengemudi Sarawak.
Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kebijaksanaan kepimpinan Abang Johari dan Parti PBB membawa perubahan dan pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini.
“Saya turut menghadiri program bersama Premier Sarawak bagi merasmikan projek tenaga dan sambungan paip gas ke rumah-rumah di Permyjaya, Miri untuk golongan B40.
“Ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk mentafsirkan hasrat kerajaan menyalurkan pembangunan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N.35 Saribas di Dewan Millennia, Debak semalam.
Katanya, PBB merupakan parti dominan dan berakar umbi di Sarawak terutamanya di luar bandar.
“Dalam perjalanan ke Debak, saya berbangga dengan kemajuan yang telah kita kecapi di Sarawak ini.
“Saya melihat sendiri bagaimana Lebuh raya Pan Borneo dan projek jalan pesisir akan memendekkan masa perjalanan.
“Segala pembangunan yang dilakukan memerlukan kos besar dengan pembinaan jalan raya pesisir. Projek tersebut dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Cawangan N.35 Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, Ketua Cawangan N.33 Engkelili, Dato Dr. Richard Rapu, ADUN Kalaka Mohammad Duri serta ketua masyarakat.
