Sektor keterjaminan makanan, infra asas diperkasa

KUCHING: Sektor keterjaminan makanan terus diberi keutamaan Kerajaan Sarawak melalui pemerkasaan infrastruktur asas di luar bandar.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, 70 peratus daripada Bajet Sarawak 2025 yang berjumlah RM15.6 bilion diperuntukkan kepada kawasan luar bandar yang menumpukan sektor keterjaminan makanan dan pelancongan.

“Kita telah memberikan infrastruktur daripada jalan raya dan perhubungan termasuk bekalan elektrik dan air serta konektiviti digital untuk luar bandar.

“Ini akan meningkatkan sektor bukan sahaja pertanian tetapi hasil makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini hari ini.

Beliau menambah, sektor pelancongan turut diberi tumpuan di pedalaman bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk luar bandar.

Menerusi pembangunan jalan raya sama ada melalui Jalan Pan Borneo atau jalan pesisiran akan membolehkan pelancong untuk pergi ke tempat-tempat menarik seperti Gua Mulu dan Gua Niah.

Manakala, di Kuching iaitu kawasan Padawan yang memberikan akses kepada mereka yang melawat di Sarawak, tambah Abang Johari.