KUCHING: Yayasan Penaraju (YP) Talent Bank (Gedung Bakat) berharap dapat melahir ramai bakat Bumiputera dalam bidang profesional, perniagaan dan kepimpinan yang mempunyai daya saing tinggi di peringkat global.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib yang melancarkan YP Talent Bank itu di sini barkata, matlamatnya adalah untuk melahir 10,000 bakat Bumiputera yang mempunyai daya saing tinggi dalam tiga bidang itu menjelang 2030.
Ia sejajar dengan matlamat melahir bakat Bumiputera yang kompetitif di peringkat global, katanya.
Matlamat itu juga, katanya, selari dengan komitmen kerajaan menyokong usaha membangunkan daya kepimpinan dan memajukan ekonomi Bumiputera.
YP Talent Bank pada peringkat permulaan akan menerokai jaringan bekas pelajar sebelum membukanya kepada semua individu Bumiputera yang berhasrat menjadi pemimpin dalam salah satu daya kepimpinan berkenaan, katanya.
Beliau berkata, pelancaran YP Talent Bank itu merupakan salah satu daripada contoh kerjasama berkesan antara kerajaan dengan agensi berkaitan dengan matlamat jangka panjang untuk membangunkan sumber insan Bumiputera sambil mewujudkan peluang untuk maju ke hadapan.
YP Talent Bank itu adalah agensi di bawah Kementerian Ekonomi untuk membantu dan melatih sumber insan dalam kalangan Bumiputera menjadi pemimpin berdaya saing di peringkat global, tambahnya.
Beliau menegaskan, pelancaran YP Talent Bank itu juga sejajar dengan program Ekonomi Madani iaitu Memperkasa Rakyat yang diumumkan baru-baru ini bagi mengukuhkan teras strategi meningkatkan taraf Bumiputera dengan harapan membangun ekonomi dan memakmurkan negara.
YP Talent Bank, katanya, menyokong hasrat itu dengan memupukkan inovasi, meningkatkan daya saing dalam kalangan bakat Bumiputera dan pertumbuhan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif YP Talent Bank, Ibrahim Sani dalam ucapan aluannya berkata, pelancaran Talent Bank itu membuktikkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dan YP dalam membimbing dan membangunkan bakat Bumiputera.
Daripada jumlah 10,000 orang yang dibangunkan, katanya, 5,000 adalah pemimpin profesional, 4,000 pemimpin perniagaan dan 1,000 orang pemimpin masyarakat.
Mereka yang menyertai YP Talent Bank, katanya, akan menjalani proses membangunkan diri mulai daripada proses penilaian berdasarkan nilai keputusan dan pelan pembangunan peribadi.
Fasa satu program perintis YP Talent Bank akan dilancarkan secara rasminya pada suku pertama 2025 dan peserta yang terpilih akan melalui proses penilaian serta catatan profil untuk mewujud pelan pembangunan peribadi.
Pada peringkat fasa kedua yang dilancarkan pada suku pertama 2026, katanya, peserta akan menikmati faedah sepenuhnya ke atas sokongan bakat dan pembangunan kepimpinan mengikut tahap penilaian.
