Kem Katarak, Pterygium Betongditerus, bantu pulih penglihatan masyarakat

BETONG: Seramai 103 pesakit katarak dan 28 pesakit pterygium mendaftarkan diri untuk menerima rawatan sepanjang Kem Katarak dan Pterygium Betong Ke-20 di Hospital Betong.

Ia berlangsung hingga 22 November ini.

Usaha meningkatkan akses rawatan mata berkualiti kepada rakyat luar bandar terus diperkukuh apabila mencatatkan penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan 2013.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, penganjuran kem itu membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan penduduk Betong mendapat rawatan selamat, berkualiti dan mudah diakses.

Kem ini dianjurkan bersama Lions Club Kuching Metro, Klinik Katarak Kesihatan Kementerian Malaysia, serta Jabatan Ophthalmology Hospital Umum Sarawak (HUS), dengan fokus utama memastikan pesakit menerima rawatan terbaik mengikut piawaian perubatan semasa.

Daripada jumlah keseluruhan pesakit katarak, 100 pembedahan ditaja sepenuhnya oleh beliau bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, manakala tiga pesakit lagi menggunakan kanta intraokular (IOL) yang dibeli sendiri.

“Dengan 103 pembedahan katarak, ini adalah kem terbesar pernah diadakan di Hospital Betong, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kami untuk memastikan rakyat Betong mendapat akses rawatan mata berkualiti, dekat dengan rumah mereka,” katanya.

Kem Katarak dan Pterygium Betong ini dijangka terus dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang bagi memenuhi permintaan rawatan penglihatan yang semakin meningkat di kawasan Betong dan sekitarnya.