Jualan Agro Sarawakku Sayang inisiatif kerajaan bantu rakyat tangani beban kos hidup

KUCHING: Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) mendapat sambutan apabila merekodkan nilai jualan hampir RM500,000 sejak dilaksanakan pada April lalu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Program yang kini memasuki lokasi ke-17 itu berlangsung di Esplanad Kampung Gersik, Boyan dengan menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus bagi beberapa produk makanan terpilih, termasuk kombo barangan asas, telur ayam dan ayam segar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang merasmikan program tersebut berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup susulan kenaikan harga barang di pasaran.

“Program ini dilaksanakan secara berterusan menerusi kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan beberapa agensi lain, dengan sasaran 40 lokasi di seluruh Sarawak menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program JASS di Esplanad Kampung Gersik, Boyan, di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman menambah, setakat ini seramai 150 usahawan terlibat dalam pelaksanaan JASS yang turut memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dan pedalaman menerusi penawaran harga berpatutan.