MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengajak rakyat supaya mewakafkan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan secara berterusan.
Sehubungan itu katanya, konsep ziarah dan mahabbah bukan sekadar menyantuni masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada perpaduan, pembangunan serta kemajuan negeri yang berpaksikan ilmu dan nilai Islam.
“Inilah antara pendekatan baharu yang boleh diperkasakan demi pembangunan ummah,” katanya ketika merasmikan program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 Zon Tengah Mukah dan Kapit di Dataran Pehin Setia Raja di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini menjadi contoh keharmonian apabila masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup saling menghormati, malah pendekatan itu mendapat pujian daripada pemimpin agama luar yang kagum dengan perpaduan dan keamanan yang dinikmati negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pembangunan berasaskan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Sarawak, katanya, amat bertuah kerana dianugerahkan sumber semula jadi yang kaya termasuk hutan hujan tropika yang membantu mengekalkan keseimbangan alam.
Namun begitu, tambahnya, terdapat satu aspek penting yang perlu diperkukuhkan, iaitu ilmu pengetahuan dan Sarawak mesti melengkapkan generasi muda dengan ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Tema ziarah mahabbah, katanya, membawa maksud mendekati dan menyantuni masyarakat dengan penuh kasih sayang yang amat penting dalam kehidupan bermasyarakat di Sarawak.
Dari perspektif Islam, konsep ziarah dan menyantuni masyarakat bukanlah sesuatu yang baharu dan ilmuwan agung seperti Ibnu Khaldun telah menjelaskan bahawa manusia saling bergantung antara satu sama lain, katanya.
“Ini bermakna kita tidak boleh hidup secara bersendirian — kita memerlukan kerjasama dan hubungan sesama manusia untuk membangunkan masyarakat,” katanya.
