Wanita perlu celik keselamatan, lindungi diri dan keluarga

DARO: Wanita perlu meningkatkan pengetahuan berkaitan keselamatan, khususnya dalam menghadapi ancaman penipuan dalam talian dan risiko kebakaran di rumah bagi melindungi diri serta keluarga.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, perkara itu penting kerana wanita khususnya ibu dan suri rumah sering menjadi individu terawal berdepan situasi kecemasan di rumah.

Katanya, perkembangan teknologi dan penggunaan platform digital turut mendedahkan wanita kepada pelbagai bentuk penipuan termasuk penipuan percintaan, jual beli palsu, pelaburan tidak wujud dan penipuan perbankan.

“Dalam dunia digital, wanita perlu berwaspada terhadap permintaan maklumat peribadi atau arahan bayaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Suricelik: Pemerkasaan Keselamatan dan Kesihatan Wanita Komuniti (I-Suri), di sini, semalam.

Ahmad Johnie berkata, wanita juga perlu mempunyai pengetahuan asas berkaitan pencegahan kebakaran dan pertolongan cemas bagi mengelakkan kecuaian kecil di rumah daripada mengundang risiko lebih besar.

Menurutnya, antara punca kebakaran yang perlu diberi perhatian termasuk dapur, tong gas LPG, minyak masak, sistem pendawaian dan peralatan elektrik.

“Pengetahuan menggunakan selimut api dan alat pemadam api dengan betul mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan kaunter perkhidmatan agensi berkaitan termasuk Pejabat Kesihatan, Klinik Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), AMANITA serta Jabatan Bantuan Guaman Cawangan Sibu.

Katanya, maklumat berkaitan kesihatan, keselamatan, jenayah dan undang-undang yang diperoleh menerusi program itu perlu dikongsi bersama keluarga dan masyarakat.