KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat (KPWKK) merancang melatih 50,000 penjaga profesional secara keseluruhan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, untuk tahun ini, kementerian berkenaan menyasarkan melatih kira-kira 2,000 penjaga profesional setakat November ini dan percaya sasaran itu boleh dicapai.
“Program yang dilaksanakan itu untuk tempoh tiga tahun dengan memberi tumpuan kepada mereka yang menjaga warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Nancy menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional Bagi Warga Emas dan OKU.
Nancy menjelaskan, sasaran 50,000 penjaga profesional itu adalah secara menyeluruh dan bukan hanya melibatkan penjagaan warga emas dan OKU tetapi turut merangkumi kanak-kanak, komuniti dan kumpulan lain yang memerlukan perkhidmatan penjagaan.
Ditanya mengenai cadangan dalam Belanjawan Negara 2027, Nancy berkata, KPWKK mempunyai lima elemen atau kategori yang dicadangkan dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran.
Antara yang utama ialah penambahan peruntukan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk tiga elemen di bawah kategori penjagaan iaitu penjaga, penjagaan wanita, kawasan rukun tetangga (KRT), keganasan rumah tangga, keluarga dan warga emas, katanya.
Kementerian katanya, hanya mengemukakan cadangan dan apa sahaja yang dicadangkan adalah berdasarkan keperluan kumpulan sasaran.
Nancy menambah, KPWKK tidak mengemukakan program yang terlalu besar.
“Sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kebajikan serta peningkatan ekonomi kumpulan sasaran kita,” tegas beliau.
