KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baharu mungkin tidak sempat digunakan untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, ini disebabkan tempoh penggal DUN Sarawak akan tamat pada Februari tahun hadapan, sedangkan notis persempadanan semula kerusi DUN itu dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.
Katanya, SPR mempamerkan cadangan termasuk nama-nama kawasan pilihan raya untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada orang awam, khususnya pengundi di kawasan terlibat.
“Daripada Kerajaan Sarawak, kita faham terdapat beberapa nama yang mungkin kurang sesuai. Nama sesuatu kawasan perlu mempunyai kaitan dengan tempat berkenaan, seperti Pasir Pandak.
“Kalau memang terdapat kampung yang dikenali sebagai Pasir Pandak, tidak menjadi masalah untuk menggunakan nama tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) Ke-34 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, paling penting adalah SPR melaksanakan proses pameran dengan sewajarnya dan mengambil kira pandangan serta maklum balas pengundi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Mengenai tempoh proses berkenaan, beliau berkata masih terdapat beberapa peringkat pameran yang perlu dilaksanakan.
“Ini baharu pameran pertama dan akan ada pameran kedua.
“Sama ada proses ini sempat diselesaikan atau tidak, saya tidak dapat pastikan kerana ia bergantung kepada proses yang sedang dijalankan SPR,” katanya.
